15 March 2014: Berita Harian

Belia Sebar Mesej Jimat Air di Masjid

Sekumpulan belia mengambil peluang menyebarkan mesej menjimatkan air kepada orang ramai di masjid, sedang negara ini dilanda musim kering.

Menggelar diri mereka sebagai FiTree, kumpulan tersebut, yang terdiri daripada karyawan muda dan mahasiswa, turun padang ke Masjid Al-Mukminin di Jurong East semalam bagi menggalak jemaah mengambil ikrar jimat air.

Dengan kerjasama agensi air negara PUB, mereka menganjurkan pameran dan mengagihkan risalah memupuk kesedaran cara menjimatkan air kepada jemaah.

Diasaskan tahun lalu, kumpulan itu menyebarkan mesej mengenai sekitaran dan kaitannya dengan Islam. Semalam, mereka menggalak jemaah agar tidak membazir air semasa menggambil wuduk.

Anggota kumpulan FiTree, Cik Faizah haji Shaik Abdullah, 28 tahun, ,berkata mesej jangan membazir air menjadi lebih penting dengan musim kering yang sedang melanda.

“Kami ingin menyampaikan mesej bahawa sikap menjimat dan mengelakkan pembaziran adalah sebahgian hisup kita sebagai orang Islam,” ujar Cik Faizah , yang baru lulus daripada Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dalam kejuruteraan sekitaran.

Menurutnya, membiarkan paip air mengalir selama dua minit semasa mengambil wuduk sama seperti menggunakan 18 liter atau 24 botol air 750 mililiter.

Pengurus Masjid Al-Mukminin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, berkata masjid telah memasang penapis paip sejak menjalani kerja penngkatan beberapa tahun lalu yang telah banyak mengurangkan penggunaan air.

Eksekutif Jabatan Hubungan Masyarakat, Encik Muhd Firdaus Hamzah, berkata pameran di masjid itu semalam merupakan antara pelbagai acara yang dianjurkan menjelang Hari Air Sedunia hari ini.

“Kami gembira dengan sokongan rakan masyarakat seperti FiTree dalam menerajui usaha memastikan bekalan air akan berkekalan dalam musim kering berpanjangan ini,” ujar Encik Firdaus.

Seorang jemaah, Encik Jakaria Simin, mengalu-alukan usaha kumpulan belia itu.

“Mesej ini penting setiap masa, tidak kira musim kering atau tidak,” ujar pesara berusia 67 tahun itu.

Ditulis oleh Nur Adilah Mahbob